RANAU: Dua lelaki warga Perancis yang mengalami kecederaan, ketika melakukan aktiviti paragliding di Gunung Kinabalu, telah dibantu oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridhwan Taib berkata, mangsa telah dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung dan dihantar ke Hospital Ranau, menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Semalam, kira-kira jam 7 pagi di Kilometer 7.5 membabitkan mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri.
Susulan itu, sepasukan 14 anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta malim gunung kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.
Katanya, mangsa cedera akibat terlanggar permukaan gunung semasa menjalankan aktiviti paragliding itu diberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.
Tambahnya, operasi ditamatkan pada jam 5.18 petang.
Dalam kejadian sama, beliau turut berkata terdapat seorang lagi lelaki warga Perancis yang turut melakukan aktiviti paragliding dilaporkan tersasar sebelum terperangkap di atas pokok di Kawasan Kiau View Trail Hutan Sabah Park Gunung Kinabalu, di sini.
Mangsa berumur 54 tahun dilaporkan tersangkut di atas sebuah pokok pada ketinggian 18 meter. Ketika itu, pasukan operasi turut bergegas ke lokasi dan kejadian jam 10.52 pagi, semalam.
“Kami menjalankan operasi menurunkan mangsa menggunakan sistem tali penyelamat 3:1 dan berjaya membawa turun mangsa pada jam 3.56 petang,” katanya.
Bagaimanapun, katanya lagi, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak memerlukan sebarang rawatan lanjut.
Tambahnya berdasarkan maklumat diterima, jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat dalam aktiviti paragliding ini adalah seramai lapan orang dan hanya seorang mengalami kecederaan.- Utusan Borneo