spot_img
HomeJenayah10 pati berjaya ditahan di Tawau

10 pati berjaya ditahan di Tawau

TAWAU: Cubaan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup secara haram telah digagalkan dalam satu serbuan yang dilakukan berhampiran jeti pemunggahan balak di Kampung Hidayat, hari ini.

Kesemua Pati terbabit ditahan oleh Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) ketika cuba menyembunyikan diri di kandang kambing, sekitar jam 5.50 pagi.

Komander ATB2 Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, dua bot laju dikesan bergerak dari arah Pulau Sebatik, Indonesia menuju ke kawasan jeti pemunggahan balak, berhampiran Kampung Kurnia Jaya, sebelum cuba bersembunyi di kawasan berkenaan.

“Selepas 20 minit melaksanakan operasi pencarian, kedudukan Pati berkenaan berjaya dikesan manakala dua buah laju berkenaan dipercayai telah berpatah balik ke sempadan perairan setelah menurunkan kesemua Pati berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Karim, hasil pemeriksaan telah mendapati kesemua Pati terbabit terdiri daripada 8 lelaki dan dua wanita yang berusia antara 19 hingga 51 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua Pati berkenaan mengaku berasal dari negara jiran dan masuk ke negara ini secara haram dengan tujuan pencari pekerjaan.

“Pati terbabit turut memaklumkan perjalanan mereka ke negara ini diatur oleh tekong di negara jiran sehingga sampai ke daerah ini sebelum disambut oleh tekong darat yang berada di Tawau,” ulasnya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua Pati terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk menjalani ujian saringan COVID-19 serta tindakan selanjutnya.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal atau berada di Malaysia tanpa permit yang sah. – Utusan Borneo

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular