spot_img
HomeSemasaSabah perluas PICKids ke setiap sekolah

Sabah perluas PICKids ke setiap sekolah

KOTA KINABALU: Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) bagi kanak-kanak berumur antara lima hingga bawah 11 tahun di Sabah dipertingkatkan lagi dengan memperluaskan program itu ke setiap sekolah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, program itu bermula di daerah Tambunan melibatkan beberapa sekolah rendah dengan 60 kanak-kanak menerima dos pertama vaksin itu pada 12 Februari lalu.

Sehubungan itu, kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bersedia ke sekolah untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak bagi mendapat perlindungan maksimum, berikutan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak di Sabah semakin meningkat.

“Ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk memastikan anak-anak mereka diberi vaksin kerana keputusan di tangan mereka,” katanya selepas pelancaran PICKids peringkat negeri yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), kelmarin.

Mengulas lanjut, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata, program vaksinasi itu akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri di 1,705 sekolah rendah.

Inisiatif itu bertujuan memastikan ibu bapa berpeluang membawa anak-anak mereka mendapatkan dos pertama vaksin, termasuk di pedalaman bagi meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak di Sabah.

“Ibu bapa diberi pilihan sama ada pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau klinik kesihatan berdekatan, ataupun mendaftar melalui aplikasi MySejahtera. Jadi, tiada lagi alasan untuk tidak pergi,” tambahnya lagi.

Setakat ini, seramai 9,686 kanak-kanak berumur lima hingga bawah 11 tahun di Sabah telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 sejak PICKids dimulakan pada 3 Februari lepas di lima hospital iaitu HWKKS, Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Keningau, Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau.

Sementara itu, program ini telah diperluas ke seluruh negara dengan penubuhan 145 PPV melibatkan 109 klinik kesihatan, 22 hospital dan 18 klinik swasta serta empat PPV awam yang dipantau oleh pakar dan pegawai perubatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular