HomeSemasaProgram PANTAS percepat selesai isu tanah adat di Sabah

Program PANTAS percepat selesai isu tanah adat di Sabah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh pelaksanaan Program Perkhidmatan Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) sebagai usaha mempercepat penyelesaian isu pemilikan tanah adat atau Native Customary Rights (NCR) di negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, kerajaan sentiasa komited membantu Kerajaan Sabah melalui penyediaan peruntukan bagi memastikan pelaksanaan program berkenaan diteruskan secara berkesan.

Menurut beliau, sejak diperkenalkan pada 2011, Program PANTAS memberi tumpuan kepada kerja pengukuran tanah, penyediaan hak milik dan memberi kepastian pemilikan kepada rakyat yang layak.

Katanya, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM191.054 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Rolling Plan Pertama 2026 di bawah RMK-13.

“Sehingga 30 Jun 2026, program ini berjaya melaksanakan pengukuran melibatkan 214,171 hektar tanah serta memberi manfaat kepada 95,206 penerima di seluruh Sabah,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kerajaan mengakui masih terdapat kawasan tanah NCR yang belum selesai diproses berikutan beberapa cabaran termasuk keluasan kawasan pedalaman, bentuk muka bumi yang mencabar, pertindihan tuntutan hak milik serta keperluan mematuhi proses perundangan.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lebih cekap.

Menurut Mustapha, kerajaan turut meneruskan penyediaan peruntukan di bawah RMK-13 bagi mengekalkan momentum pelaksanaan Program PANTAS dan mempercepat penyelesaian baki tanah NCR yang masih belum mempunyai hak milik.

Beliau berkata, penyelesaian isu tanah adat bukan sahaja memberi kepastian dari aspek perundangan kepada pemilik tanah, malah membuka ruang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar melalui pemilikan tanah yang diiktiraf secara sah.

Tegasnya, usaha itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah menerusi dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular