KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi antara agenda utama Kerajaan MADANI dalam memperkukuh hubungan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak menerusi pendekatan berasaskan kerjasama, rundingan serta pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, kerajaan komited memastikan setiap perkara yang dibangkitkan oleh kedua-dua negeri diteliti secara menyeluruh melalui mekanisme yang diwujudkan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Menurut beliau, platform berkenaan membolehkan isu-isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak dibincangkan secara tersusun melibatkan Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.
Katanya, proses penyelesaian setiap tuntutan memerlukan penelitian kerana sebahagian daripadanya melibatkan pindaan undang-undang, aspek pentadbiran dan koordinasi antara pelbagai agensi.
“Kerajaan MADANI kekal komited meneruskan rundingan terhadap perkara-perkara di bawah MA63 supaya dapat diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka perundangan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat mengenai perkembangan pelaksanaan MA63.
Menurut Mustapha, MTPMA63 dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, manakala Jawatankuasa Teknikal dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri sebagai platform menyelaras pelaksanaan keputusan yang dipersetujui.
Beliau berkata, pendekatan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pelaksanaan MA63 tidak hanya tertumpu kepada rundingan dasar, malah diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Selain itu katanya, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta kementerian berkaitan menjadi faktor penting bagi mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, setiap tuntutan turut mengambil kira keupayaan operasi, sumber manusia dan kewangan supaya penyelesaian yang dicapai mampu dilaksanakan secara mampan.
Menurutnya, pendekatan berasaskan dialog dan persefahaman diyakini mampu memperkukuh sistem Persekutuan serta memastikan pembangunan di Sabah dan Sarawak terus diperkasakan selaras aspirasi Malaysia MADANI.


