KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperkasa sistem pemantauan projek pembangunan Persekutuan menerusi pembangunan MyProject 2.0, yang bakal mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pemantauan serta penyampaian projek di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, penambahbaikan sistem itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus projek pembangunan supaya pelaksanaannya lebih telus, sistematik dan responsif terhadap cabaran semasa.
Menurut beliau, MyProject yang digunakan ketika ini telah menjadi pangkalan data utama bagi merekod, memantau dan menilai kemajuan projek pembangunan Persekutuan di semua negeri.
Katanya, pembangunan MyProject 2.0 akan mengambil kira kemajuan teknologi semasa, termasuk penggunaan AI bagi membantu proses pemantauan yang lebih pantas dan tepat.
“MyProject 2.0 sedang dibangunkan dan akan mengambil kira teknologi sedia ada, terutama melibatkan teknologi kecerdasan buatan (AI),” jelasnya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, sistem berkenaan bukan sahaja membantu kerajaan mengenal pasti perkembangan projek secara masa nyata, malah membolehkan tindakan susulan diambil lebih awal sekiranya berlaku kelewatan atau isu pelaksanaan.
Menurut Mustapha, ahli Parlimen juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan projek pembangunan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), selain mengemukakan pertanyaan rasmi berhubung status projek di kawasan masing-masing.
Dalam masa sama, kerajaan sedang meneliti cadangan bagi memperluaskan akses pelaporan projek secara berperingkat kepada ahli Parlimen dan pihak berkepentingan, selaras dengan keperluan meningkatkan ketelusan dalam pelaksanaan projek kerajaan.
Beliau berkata, mekanisme pemantauan yang dilaksanakan ketika ini melibatkan semua peringkat pentadbiran, bermula daripada kepimpinan tertinggi negara sehingga ke peringkat daerah bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
Mustapha turut menegaskan kerajaan melaksanakan pemantauan terhadap semua projek pembangunan secara adil tanpa mengira kawasan atau pentadbiran negeri.
Katanya, pendekatan berasaskan data serta penggunaan teknologi digital dijangka memperkukuh lagi keupayaan kerajaan memastikan setiap peruntukan pembangunan memberi manfaat optimum kepada rakyat.


