KUALA LUMPUR: Pelukan Angkasa ciptaan sepenuhnya oleh Raja Nazrin Shah dan Fazleena Hishamuddin yang dipersembahkan oleh kumpulan SOG bersama Shila Amzah telah dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ke-36.
SOG atau turut dikenali sebagai Sekumpulan Orang Gila dan Shila Amzah berjaya membawa pulang trofi AJL bersalut emas yang kali pertama diperkenalkan pada tahun ini beserta wang tunai berjumlah RM100,000.
Naib juara pula menjadi milik mutlak lagu Cinta ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim yang dinyanyikan oleh Marsha Milan yang turut menjadi perhatian penonton dan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM50,000.
Selain trofi naib juara, lagu Cinta turut dianugerahkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik dengan hadiah trofi, wang tunai RM18,000 serta ganjaran sumbangan penaja, NOIR Beauty Essence.
Lagu Mimpi ciptaan Haqiem Rusli dan Datuk A Aida pula diumum pemenang tempat ketiga dan berjaya membawa pulang trofi beserta wang tunai RM30,000.
Sementara itu, keampuhan vokal Aina Abdul yang kian dikenali mendendangkan lagu ciptaan sendiri iaitu Sepi melayakkan dirinya meraih trofi Vokal Terbaik pada kali ini. Aina menerima trofi dan dan wang tunai RM12,000.
Selain anugerah vokal terbaik, Aina berkongsi kemenangan bersama Khai Bahar menerusi lagu duet Nafas Cinta dimana diumumkan sebagai pemenang kategori Anugerah Penyanyi Popular AJL tajaan jenama telefon bimbit OPPO. Mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000.
Lagu lain yang turut bersaing pada Anugerah Juara Lagu kali ini adalah Boneka dendangan Ernie Zakri, Purnama Naim Daniel, Intan Payung Bunga dan Noraniza Idris, Salahku Yonnyboii, AEWO Shiha Zikir dan Noki, Lara Haqiem, Naim Daniel dan Hael Husainivdan Angkara Siti Nordiana.
Persembahan 12 finalis diadili 10 juri profesional diketuai Datuk Mokhzani dan dibantu juri hebat yang lain iaitu Datuk Habsah Hassan, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Edrie Hashim, Helen Yap, LY, Altimet dan Faizal Tahir.
Penghakiman markah dilakukan dengan 85 peratus markah diadili dari segi melodi, lirik, vokal, produksi dan susunan dalam rakaman. Baki 15 peratus lagi adalah melalui persembahan dan vokal termasuk susunan muzik secara langsung pada malam kemuncak.
AJL36 yang disiarkan dalam norma baharu dengan mengehadkan 200 penonton, menyaksikan gandingan Alif Satar dan Nabila Huda sebagai pengacara manakala Karpet Merah AJL36 pula dihoskan oleh Sissy Imann dan Sean Lee yang disiarkan TV9 dan YouTube TV3 Malaysia.
Malam kemuncak AJL36 yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) turut diserikan dengan persembahan Datuk Jamal Abdillah, Mas Idayu, Ayda Jebat, kumpulan Cassia serta gandingan otai rock, Wings diketuai Datuk Awie.