TAWAU: Rakyat Sabah perlu segera mendapatkan dos penggalak COVID-19 sebelum pembukaan semula sempadan negara, dikhuatiri terdedah dengan kemasukan rakyat Filipina dan Indonesia.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kebimbangan itu berikutan kadar vaksinasi di kedua-dua negara berkenaan masih rendah.
“Walaupun kita ada prosedur ditetapkan, namun liputan vaksinasi di Sabah penting kerana wujudnya risiko COVID-19 dari negara jiran,” katanya selepas merasmikan Program Mass Cataract Surgery Initiative (MCSI) di sini, kelmarin.
Setakat ini, sebanyak 40 peratus orang dewasa di Sabah telah menerima dos penggalak, diikuti kira-kira 16 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negeri itu telah mendapatkan PICKids.
“Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan warga emas berumur 60 tahun ke atas di negara ini mendapat dos penggalak, termasuk melakukan opportunistic vaccine, iaitu warga emas dimasukkan ke hospital untuk dinilai dan diberi vaksin sebelum mereka dibenarkan pulang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, banyak rawatan bukan kecemasan dan elektif terpaksa ditangguhkan seperti perkhidmatan pembedahan termasuk pembedahan katarak yang melaporkan 16,288 kes tertunda sehingga Oktober tahun lepas.
Dengan pelaksanaan MCSI, kes tertunda telah dikurangkan kepada 4,960 kes setakat Disember tahun lepas dan 360 kes tertunda di Tawau setakat Okt 2021, dengan 83 pembedahan telah dijalankan setakat bulan lepas.
“Hospital Tawau melaksanakan MCSI menyasarkan 200 pembedahan katarak dilakukan dalam tempoh tujuh hari sehingga 13 Mac, melibatkan 17 pakar mata serta 12 pegawai perubatan dan anggota kesihatan dari Kementerian Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah,” tambahnya.
Sementara itu, Khairy turut merasmikan mesin mammogram bernilai RM2.15 juta serta projek Unit Rawatan Rapi (ICU) hybrid lapangan bernilai RM6.25 juta di Hospital Tawau, selain melawat beberapa klinik kesihatan sekitar Tawau yang memerlukan penambahbaikan. – BERNAMA


