TAWAU: Dua rumah musnah dalam kebakaran di Batu 4, Jalan Apas awal pagi tadi yang turut menyebabkan seorang lelaki berusia 57 tahun cedera melecur.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan jam 6.50 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Tawau bersama Pasukan Bomba Komuniti Titingan bergegas ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK I Suheizan Sahak berkata, kebakaran melibatkan dua rumah jenis separuh kekal berkeluasan 50×30 kaki persegi dan 60×40 kaki persegi.

“Sebuah rumah musnah 100 peratus, manakala sebuah lagi terbakar kira-kira 60 peratus.
“Seorang mangsa lelaki, Bacho Ambosappe, 57, mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki dan tangan semasa cuba menyelamatkan diri,” katanya.
Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba sebelum dihantar ke Hospital Tawau menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Katanya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran 500 kaki dengan satu dividing breeching dan dua pancutan, bersumberkan pili bomba berhampiran.
“Api berjaya dikawal jam 7.24 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 8.35 pagi,” jelasnya.
Katanya, operasi membabitkan 23 anggota BBP Tawau, enam anggota Bomba Komuniti Titingan serta agensi lain termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan SESB. — DEMI SABAH