KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang membawa 10.4 kilogram syabu di dalam kenderaannya telah berjaya dikesan dan ditahan oleh pihak polis dalam satu serbuan yang dilakukan di kawasan perumah Tuaran.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata suspek warga tempatan berumur 40-an itu ditahan sekitar jam 10 malam pada 8 Mei lalu.
Menurut Jauteh, suspek berjaya ditahan selepas pihak polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah mengarahkan kenderaan yang dinaiki suspek untuk berhenti berhampiran kawasan perumahan tersebut.
“Pihak polis telah menemukan sebuah kotak besar di dalam kenderaan suspek semasa pemeriksaan dilakukan.
“Suspek turut cuba melarikan diri namun tindakan pantas pihak polis berjaya menghalang percubaan suspek terbabit.
“Seberat 10.4 kilogram (kg) dadah jenis syabu yag dimuatkan dalam bungkusan teh ditemukan dalam kotak berkenaan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Katanya rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM360,000 itu mampu menampung kira-kira 50,000 penagih dalam tempoh sehari.
“Hasil siasatan lanjut turut mendapati bekalan dadah tersebut diperolah dari Kuala Lumpur dan diedarkan ke Sabah melalui perkhidmatan kurier sebelum dijual untuk kegunaan tempatan,” ulasnya.
Susulan ini, pihak polis masih memburu sepasang individu yang sudah dikenalpasti mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah ini.
Suspek kini ditahan manakala kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Utusan Borneo


