HomeEkonomiKerajaan teliti penambahbaikan pelaksanaan subsidi diesel di Sabah, Sarawak

Kerajaan teliti penambahbaikan pelaksanaan subsidi diesel di Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU:Kerajaan Persekutuan sedang meneliti pelbagai penambahbaikan terhadap pelaksanaan penyasaran subsidi diesel susulan maklum balas dan aduan diterima daripada pelbagai pihak, termasuk pemain industri serta orang ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, isu berkenaan dibincangkan setiap minggu dalam mesyuarat Jemaah Menteri bagi mencari penyelesaian terbaik tanpa menjejaskan matlamat pelaksanaan subsidi bersasar.

Katanya, Kementerian Kewangan (MOF) kini sedang meneliti beberapa cadangan bagi menangani isu yang timbul selepas dasar itu dilaksanakan.

“Kita telah menerima banyak aduan daripada pelbagai kelompok termasuk industri dan orang ramai. Perkara ini dibincangkan setiap minggu dalam Kabinet dan MOF sedang mencari penyelesaian terhadap isu-isu ini.

“Pendekatan kita ialah melaksanakan dasar terlebih dahulu sebelum mengenal pasti ruang yang perlu ditambah baik. Seperti pelaksanaan BUDI RON95 sebelum ini, kepimpinan di Sabah dan Sarawak sentiasa membangkitkan isu-isu berkaitan,” katanya kepada media ketika ditemui media pada Majlis Jelajah Wira MADANI Peringkat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) 2026 di Sepanggar, di sini.

Menurut Mustapha, beliau turut membincangkan perkara itu bersama Perdana Menteri bagi memastikan perhatian khusus diberikan terhadap cabaran pelaksanaan subsidi bersasar yang dihadapi di Sabah dan Sarawak.

Katanya, kerajaan komited meneliti setiap maklum balas yang diterima bagi memastikan sebarang penambahbaikan mengambil kira keperluan serta keadaan unik di kedua-dua negeri.

“Kerajaan akan terus menilai maklum balas dari semasa ke semasa supaya pelaksanaan penyasaran subsidi menjadi lebih berkesan, adil dan benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang layak,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular