HomeEkonomiMA63: Petroleum Sabah, Sarawak dibincang di peringkat tertinggi

MA63: Petroleum Sabah, Sarawak dibincang di peringkat tertinggi

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan royalti minyak, pembayaran tunai petroleum serta hak Sabah dan Sarawak membabitkan industri petroleum kini masih dalam perbincangan di peringkat tertinggi antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Mustapha Sakmud, berkata perkara itu membabitkan beberapa isu utama termasuk royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah, duti setem serta hak negeri.

Beliau berkata, semua perkara berkenaan dikategorikan sebagai isu yang memerlukan keputusan dan rundingan di peringkat tertinggi.

“Perkara ini hanya dibincangkan di peringkat tertinggi antara Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah. Mesyuarat membabitkan ketiga-tiga pemimpin itu diadakan mengikut keperluan dan kesesuaian semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau di dewan rakyat.

Mustapha berkata, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan semua isu berkenaan bagi memastikan proses rundingan berjalan dengan baik.

Mengulas keterangan yang diberikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, berhubung Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974), beliau berkata kerajaan memerlukan masa untuk meneliti perkara itu sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

“Saya mengikuti keterangan yang diberikan baru-baru ini. Perkara ini masih baharu dan kita memerlukan sedikit masa untuk menelitinya sebelum mengambil tindakan susulan,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular