KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI kekal komited meneruskan rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan setiap tuntutan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dapat diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan serta kerangka perundangan sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, daripada 29 perkara yang dibincangkan di bawah platform rundingan rasmi MA63, sebanyak 13 perkara berjaya diselesaikan, manakala lima lagi mencapai penyelesaian sebahagian atau interim.
Katanya, baki 11 perkara masih dalam pelbagai peringkat tindakan, membabitkan dua perkara yang sudah mempunyai keputusan, empat masih dalam rundingan dan lima lagi dirujuk untuk pertimbangan serta keputusan di peringkat tertinggi.
“Kerajaan MADANI kekal komited meneruskan rundingan mengenai perkara-perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak supaya dapat diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka perundangan sedia ada,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Belud di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 pada 2 Mac lalu turut bersetuju mengklasifikasikan empat lagi perkara sebagai selesai sebahagian atau interim.
Empat perkara itu ialah pertambahan perjawatan perkhidmatan awam Negeri Sabah dan Sarawak, Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak, isu kesihatan serta isu pendidikan.
Mustapha berkata, keputusan itu dibuat selepas sebahagian besar tuntutan berkenaan berjaya dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan.
Katanya, bagi perkara yang masih belum dimuktamadkan, ia akan terus dipantau oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BAHES), Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat MTPMA63 bersama semua kementerian, agensi Persekutuan serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata kerajaan turut memberi perhatian terhadap maklum balas rakyat Sabah dan Sarawak berhubung pelaksanaan inisiatif penyasaran subsidi bahan api, khususnya BUDI Diesel.
Beliau berkata, perbincangan berterusan antara pemegang taruh serta agensi di peringkat Persekutuan dan negeri akan diteruskan bagi menambah baik pelaksanaan inisiatif itu tanpa menjejaskan kualiti hidup rakyat, terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Kita dengar dan ambil perhatian maklum balas rakyat Sabah dan Sarawak.
“Berpegang kepada prinsip ‘suara rakyat suara keramat’, keluh kesah rakyat di bandar mahupun pedalaman akan terus didengari Kerajaan MADANI,” katanya lagi.


