HomeEkonomiKerajaan MADANI komited percepat, penyelesaian isu tanah adat di Sabah - Mustapha

Kerajaan MADANI komited percepat, penyelesaian isu tanah adat di Sabah – Mustapha

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI kekal komited mempercepatkan penyelesaian isu tanah adat atau Native Customary Rights (NCR) di Sabah menerusi pelaksanaan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang dilaksanakan sejak 2011.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, sehingga kini Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM191.054 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), RMKe-11, RMKe-12 serta Rolling Plan (RP) 1 Tahun 2026 di bawah RMK13 bagi menjayakan program berkenaan.

Katanya, sehingga 30 Jun lalu, Program PANTAS berjaya merekodkan pengukuran tanah seluas 214,171 hektar yang memberi manfaat kepada 95,206 penerima di seluruh Sabah, selain mengeluarkan sebanyak 60,559 hak milik tanah.

“Program ini bertujuan mempercepatkan kerja-kerja pengukuran tanah, penyediaan hak milik serta memberikan kepastian pemilikan tanah kepada rakyat Sabah yang layak,” katanya ketika menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Menurut Mustapha, kerajaan mengambil maklum masih terdapat kawasan tanah adat yang belum selesai diukur dan diproses berikutan beberapa cabaran termasuk keluasan kawasan pedalaman, bentuk muka bumi yang mencabar, pertindihan tuntutan hak milik serta keperluan pengesahan oleh Kerajaan Negeri dan proses perundangan yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah bagi memastikan pelaksanaan Program PANTAS dapat diteruskan dengan lebih cekap dan berkesan.

Katanya, kerajaan turut meneruskan penyediaan peruntukan di bawah RMK13 bagi memastikan momentum pelaksanaan program itu dapat dikekalkan, sekali gus mempercepatkan penyelesaian baki tanah adat yang masih belum mempunyai hak milik.

“Di bawah mekanisme Rolling Plan tahunan, peruntukan tambahan boleh dipertimbangkan berdasarkan justifikasi dan data sasaran pengukuran yang lebih tepat,” ujarnya lagi.

Tegasnya, Kerajaan Persekutuan juga akan terus menyelaras dengan agensi pelaksana dan Kerajaan Negeri bagi mendapatkan data baki keluasan tanah yang belum diukur serta jumlah tuntutan yang masih dalam proses sebagai asas kepada perancangan peruntukan yang lebih tepat pada masa hadapan.

Terdahulu, Madius membangkitkan persoalan mengenai baki lot tanah yang masih belum diukur, jumlah keluarga yang masih menunggu geran tanah serta rasional cadangan pengurangan peruntukan Program PANTAS sekiranya masih ramai rakyat Sabah belum memperoleh hak milik tanah.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular