KUALA LUMPUR: Peruntukan khas interim sebanyak RM1.5 bilion kepada Sabah dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh pembangunan negeri, khususnya dalam aspek infrastruktur asas dan pembangunan modal insan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM600 juta telah dimanfaatkan bagi pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) serta pembinaan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
Menurut beliau, baki peruntukan wajar dimanfaatkan bagi menangani isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Katanya, antara keutamaan yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik yang masih menjadi cabaran di beberapa kawasan Sabah.
“Isu jalan raya, air dan elektrik perlu terus diberi perhatian kerana ia merupakan keperluan asas rakyat serta pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi negeri,” katanya ketika membahaskan perkara berkaitan Sabah di Dewan Rakyat.
Selain infrastruktur, beliau turut menekankan kepentingan sektor pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang yang mampu melahirkan generasi berkemahiran tinggi untuk menerajui pembangunan negeri pada masa hadapan.
Menurut Mustapha, sebahagian daripada peruntukan berkenaan juga wajar disalurkan kepada penyediaan biasiswa dan bantuan pendidikan bagi membolehkan lebih ramai anak Sabah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam, swasta serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata, usaha melahirkan modal insan berkualiti perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan negeri mempunyai tenaga kerja profesional yang mampu memenuhi keperluan pelbagai sektor pembangunan.
Katanya, pelaburan dalam pendidikan bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara dalam jangka panjang.
Menurut beliau, keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pembangunan modal insan merupakan pendekatan yang mampu memastikan pertumbuhan Sabah berlaku secara inklusif serta mampan.


