HomeSemasaBorneonisasi terus diperkukuh menerusi platform MA63

Borneonisasi terus diperkukuh menerusi platform MA63

PUTRAJAYA: Usaha memperkukuh pelaksanaan dasar Borneonisasi perkhidmatan awam di Sabah dan Sarawak terus menjadi antara agenda utama kerajaan menerusi platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

Perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud, mewakili Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 yang sedang menerima rawatan kesihatan.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), mesyuarat berkenaan meneliti perkembangan pelaksanaan pelbagai perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai persediaan menjelang Mesyuarat MTPMA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri pada September depan.

Selain itu, mesyuarat turut memberi tumpuan kepada beberapa agenda strategik yang sedang diperkemas melalui platform MTPMA63, termasuk pelaksanaan inisiatif Borneonisasi perkhidmatan awam.

Di samping itu, usaha memperkasa sektor kesihatan dan pendidikan di Sabah serta Sarawak turut menjadi antara fokus utama bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan terus dipertingkatkan.

Menurut kenyataan itu, pendekatan rundingan berterusan melalui jawatankuasa kerja dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 telah membuktikan bahawa pelbagai kemajuan dapat dicapai secara konsensus, berasaskan kepercayaan serta saling menghormati kepentingan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Justeru, pelaksanaan agenda Borneonisasi akan terus diperkasakan melalui mekanisme sedia ada bagi memastikan pelaksanaannya berjalan secara tersusun selaras dengan semangat MA63.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular