PUTRAJAYA: Semua kementerian dan agensi berkaitan diarahkan supaya mempercepat penyelesaian baki isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan pelaksanaannya dapat diperkasakan dengan lebih berkesan.
Arahan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), mesyuarat berkenaan meneliti status terkini pelaksanaan serta kemajuan penyelesaian pelbagai perkara di bawah MA63 sebagai persediaan menjelang Mesyuarat MTPMA63 yang dijadual berlangsung pada September depan.
Selain menilai perkembangan perkara yang telah dipersetujui, mesyuarat turut membincangkan beberapa agenda strategik termasuk Borneonisasi perkhidmatan awam, usaha merapatkan jurang perkhidmatan kesihatan serta pemerkasaan sektor pendidikan di Sabah dan Sarawak.
Menurut kenyataan itu lagi, pendekatan rundingan secara berterusan melalui jawatankuasa kerja dan Jawatankuasa Teknikal telah membolehkan pelbagai perkara diselesaikan secara konsensus.
Oleh itu, semua kementerian dan agensi berkaitan diminta memberi keutamaan terhadap penyelesaian baki isu MA63 supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat Sabah dan Sarawak dalam tempoh yang lebih cepat.
Mesyuarat itu turut menjadi platform penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan setiap keputusan yang dipersetujui dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.


