KUALA LUMPUR: Pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Sarawak bernilai RM1.8 bilion memperlihatkan bagaimana rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri mampu menghasilkan penyelesaian strategik, khususnya dalam pengurusan aset yang mempunyai kepentingan terhadap pembangunan ekonomi wilayah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pengambilalihan itu membolehkan Sarawak merancang pembangunan infrastruktur pelabuhan secara lebih menyeluruh, termasuk menyokong sektor tenaga hijau, hidrogen dan semikonduktor.
Perkembangan itu selari dengan pendekatan pelaksanaan MA63 yang menekankan rundingan berterusan antara kedua-dua kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud, sebelum ini menegaskan kepentingan konsensus, kepercayaan dan saling menghormati dalam menyelesaikan perkara berkaitan MA63.
Pengurusan pelabuhan secara lebih strategik juga berpotensi memperkukuh sektor perdagangan, logistik dan pelaburan. Justeru, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu bukan sekadar berkaitan perubahan status, tetapi turut membuka ruang kepada kerajaan negeri menentukan hala tuju pembangunan berdasarkan keperluan ekonomi setempat.
Namun demikian, kejayaan pengambilalihan perlu diukur melalui manfaat yang dapat diterjemahkan kepada rakyat, termasuk peningkatan kecekapan infrastruktur, peluang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi. Pendekatan sama penting dalam pelaksanaan agenda MA63 lain seperti borneonisasi perkhidmatan awam, kesihatan dan pendidikan.
Oleh itu, pengalaman Pelabuhan Bintulu menunjukkan MA63 boleh terus berkembang sebagai instrumen pembangunan yang dinamik. Rundingan berasaskan kepercayaan dan kesediaan mencari titik persamaan berpotensi menghasilkan penyelesaian praktikal yang memperkukuh pembangunan Sabah dan Sarawak.


