spot_img
HomeJenayahSindiket dadah tumpas, polis rampas syabu bernilai RM1.33 juta

Sindiket dadah tumpas, polis rampas syabu bernilai RM1.33 juta

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menerusi dua operasi berasingan di Ranau dan Telupid pada 28 Ogos lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, hasil operasi itu membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan serta rampasan 41.63 kilogram dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam beg bagasi berisi bungkusan teh cina.

Juteh (dua kanan) pada sidang media berkaitan operasi penumpasan sindiket dadah di Sabah.

“Nilai rampasan dianggarkan lebih RM1.33 juta dan mampu menampung keperluan kira-kira 160,000 penagih,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia 24 hingga 31 tahun itu dipercayai bertindak sebagai penghantar bagi seorang pembekal dadah dan menerima upah sebanyak RM1,000 bagi setiap kilogram yang dibawa dari Kota Kinabalu ke Tawau dan Semporna.

Antara paket dadah yang dirampas.

Katanya, selain dadah, polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM62,000.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan,” katanya.

Juteh menunjukkan kenderaan mewah yang dirampas dalam operasi tersebut.

Dalam kes berasingan, Jauteh berkata, JSJN turut menahan seorang lelaki di Kunak pada 14 Ogos lalu di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Jelasnya, tangkapan itu membawa kepada sitaan harta bernilai RM2.17 juta termasuk wang tunai, kenderaan mewah, jam tangan berjenama dan barang kemas yang tertinggi direkodkan setakat tahun ini.

Beliau menegaskan Polis Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam pengedaran dadah, sambil menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan menerusi hotline JSJN di 012-2087222. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular