spot_img
HomeJenayah2 lelaki warga asing ditahan miliki syabu

2 lelaki warga asing ditahan miliki syabu

TAWAU: Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan dua lelaki warga asing dalam dua serbuan berasingan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu di kawasan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 12.20 tengah hari melibatkan seorang lelaki warga asing berusia 30-an.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.06 gram.

“Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.

Menurut beliau, susulan tangkapan pertama sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), IPD Tawau menahan seorang lagi lelaki berusia 50-an di lokasi sama kira-kira 10 minit kemudian.

“Polis turut merampas satu paket plastik mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 0.10 gram. Suspek turut disahkan positif dadah amphetamine dan methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Risikan lanjut sedang dilakukan termasuk mengesan individu lain yang disyaki terlibat,” katanya.

Beliau menegaskan polis akan terus mempergiatkan usaha memerangi penyalahgunaan dadah bagi memastikan Tawau bebas daripada ancaman najis dadah. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular