KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi jaminan kebajikan penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya, akan terus diberi perhatian meskipun tindakan penguatkuasaan terhadap penempatan setinggan di kawasan itu perlu diteruskan mengikut undang-undang.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan sebelum ini sudah beberapa kali memberi nasihat supaya penduduk tidak mendirikan rumah di kawasan berkenaan yang disifatkan terlalu padat.
Menurutnya, kawasan itu juga adalah kawasan larangan untuk pembinaan rumah dan kerajaan perlu memastikan setiap tindakan dilaksanakan mengikut proses serta peraturan ditetapkan.
“Bukan kita kerajaan yang tidak prihatin, kita prihatin kepada rakyat kita. Tetapi kita kena ikut proses undang-undang dan peraturan,” kata Hajiji.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri Sabah (PPM) di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini.
Hajiji berkata, kerajaan bagaimanapun akan mencari jalan bagi mengatur penempatan penduduk terbabit supaya kehidupan mereka tidak terjejas susulan tindakan berkenaan.
Katanya, pendirian kerajaan jelas bahawa mana-mana penempatan setinggan akan dipindahkan atau dirobohkan selaras dengan keputusan yang sudah ditetapkan.
“Jadi kita cari jalan untuk mengatur ataupun memastikan bahawa kehidupan mereka juga tidak terjejas. Tapi kita memberitahu bahawa kampung itu, kawasan itu adalah kawasan yang dilarang untuk kita mendirikan rumah.
“Ianya kawasan setinggan. Kerajaan sudah membuat keputusan mana-mana kampung setinggan pasti kita pindahkan atau robohkan,” katanya lagi.


