TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah kekal meletakkan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan apabila membelanjakan sebanyak RM1.33 bilion dalam tempoh hampir lima tahun bagi pelbagai inisiatif serta bantuan pendidikan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelaburan besar itu merangkumi peningkatan peruntukan biasiswa negeri kepada RM138 juta pada tahun ini, selain pemberian bantuan tunai RM200 kepada lebih 40,000 pelajar SPM dan STPM setiap tahun.

“Kerajaan tidak mahu ada anak Sabah yang tercicir hanya kerana kekangan kewangan. Inilah perjuangan yang saya bawa sejak hari pertama,” katanya ketika merasmikan Dewan Sekolah Baharu Sekolah Kebangsaan Bundung, Topokon di sini, semalam.
Beliau berkata, fasiliti baharu itu menjadi simbol harapan kepada murid-murid untuk belajar dan menjalankan aktiviti dalam suasana yang lebih selesa serta kondusif.

Dalam majlis sama, Hajiji turut meraikan persaraan Guru Besar SK Bundung, Puan Grace Subramaniam, seorang pendidik berdedikasi dari Perak yang telah lama menabur bakti membina masa depan pendidikan di Sabah.
“Terima kasih atas segala jasa, dedikasi dan sumbangan yang tidak ternilai,” katanya. — DEMI SABAH


