HomeSemasaKerajaan negeri sedia pertimbang penangguhan perobohan Kampung Pondo

Kerajaan negeri sedia pertimbang penangguhan perobohan Kampung Pondo

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan penangguhan tindakan  perobohan struktur kediaman tanpa kebenaran di Kampung Pondo, Pulau Gaya,  khususnya bagi mengambil kira pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil  Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan prihatin  terhadap kesulitan penduduk terbabit, namun tindakan penguatkuasaan perlu  dilaksanakan mengikut proses undang-undang dan peraturan ditetapkan.

Beliau berkata, Kampung Pondo adalah kawasan penempatan setinggan yang sudah  terlalu padat dengan rumah, selain terletak di kawasan pulau yang menjadi kawasan  peranginan dan tidak dibenarkan untuk pembinaan kediaman.

“Ini boleh kita pertimbangkan, tetapi untuk makluman, kampung itu kita anggap  kampung setinggan. Bukan baru kerajaan mengeluarkan nasihat supaya mereka tidak  mendirikan rumah di sana.

“Sudah padat, terlampau banyak rumah di kawasan itu. Ini kawasan peranginan, dekat  pulau, jadi rakyat kita mesti tahu. Bukan kita kerajaan yang tidak prihatin. Kita prihatin  kepada rakyat kita, tetapi kita kena ikut proses undang-undang dan peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi  dan Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah anjuran Unit Pemimpin  Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Sabah International Convention Centre  (SICC), di sini, pada Ahad.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sudah menetapkan supaya penempatan setinggan  dipindahkan atau dirobohkan, selaras dengan perancangan yang dilaksanakan sejak  sekian lama.

Katanya, penduduk juga perlu memahami tindakan kerajaan berikutan kawasan  berkenaan sudah diduduki sejak berpuluh-puluh tahun, namun statusnya sebagai  kawasan larangan mendirikan rumah tidak berubah.

“Kalau kerajaan sudah bersedia untuk merobohkan, kita kena faham. 40 tahun,  bertahun-tahun di sana, jadi jangan dijadikan itu isu seolah-olah kerajaan tidak prihatin.

“Kerajaan prihatin. Kita cari jalan untuk mengatur ataupun memastikan bahawa  kehidupan mereka juga tidak terjejas. Tapi kita mesti tahu bahawa kawasan itu dilarang  untuk mendirikan rumah. Ia kawasan setinggan,” katanya.

Beliau berkata, setiap kali kerajaan mahu melaksanakan tindakan perobohan, pelbagai  alasan dan tuduhan timbul, termasuk dakwaan kerajaan tidak mengambil berat terhadap  kebajikan penduduk.

Katanya, kerajaan tetap berusaha mencari jalan bagi memastikan kehidupan penduduk  yang terjejas tidak terabai, namun keputusan penguatkuasaan terhadap penempatan  setinggan perlu difahami.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular