KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah meluluskan penggunaan kaedah kad nilai tambah untuk memberikan bekalan elektrik di kawasan setinggan negeri ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radi berkata, penduduk yang tinggal di kawasan setinggan dan tidak mempunyai bekalan elektrik, boleh mendapatkannya dengan menggunakan kaedah kad nilai seperti kad ‘prepaid’.
“Pada dasarnya, kaedah ini telah diluluskan oleh kerajaan negeri Sabah, untuk membekalkan elektrik kepada kawasan setinggan yang berkeperluan.
“Maksudnya, sesiapa yang mahu menggunakan elektrik, mereka perlu membeli kad prepaid dan boleh menyambung meter elektrik untuk diri sendiri, tetapi ini terserah pada pengguna. Kalau penggunaan elektrik yang banyak, kena tambah nilai yang banyak dan begitulah sebaliknya.
Pada masa yang sama, menurutnya, kaedah ini juga akan dipanjangkan untuk pemberian bekalan air di negeri ini pada masa akan datang.
Tambahnya, kini Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang membuat siri pemotongan sambungan air haram. Oleh itu, beliau mencadangkan perlu ada mekanisme baharu dengan membekalkan air ke kawasan setinggan dengan menggunakan kad prepaid ini.
“Melalui kaedah ini, tidak ada alasan lagi untuk mereka mencuri atau memecahkan paip untuk membuat sambungan air atau elektrik secara haram, kerana kerajaan sudah membekalkan air dan elektrik di kawasan setinggan.
Jelas Timbalan Ketua Menteri itu lagi, pembekalan air dan elektrik ini berbayar kerana dijalankan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan JANS. SESB dan JANS merupakan agensi yang menjalankan perniagaan dengan membekalkan air dan elektrik. Namun, mengenakan bayaran tertentu.
Beliau berkata sedemikian, ketika diminta mengulas tentang masalah kecurian elektrik dan air di negeri ini, terutamanya di kawasan setinggan.
“Melalui kaedah ini, unsur-unsur tiada pulangan hasil itu berkurangan. kalau tidak JANS akan berniaga 60 peratus air saja, manakala 40 peratus lagi hilang.
“Jadi bagaimana mahu berniaga, pihak berkuasa tempatan pun ada cadangan bahawa tidak akan membekalkan fasiliti kepada setinggan. Namun saya kata, ini berlanggar dengan polisi SESB dan JANS kerana dua agensi ini berniaga,” katanya.
“Sudah tentu kita perlu memberikan apa juga keperluan kepada rakyat. Tapi kawasan setinggan terdiri daripada rakyat tempatan dan bukan tempatan.
Dengan itu, beliau mencadangkan, salah satu jalan untuk menyelesaikan masalah kegiatan mencuri bekalan air dan elektrik di negeri ini, ialah perlu ada penggunaan kad tambah nilai.- Sinar Harian