Petaling Jaya: Tindakan keluar parti oleh dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor (exco) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor disifatkan sebagai tindakan yang sia-sia.
Ketua Bersatu Bahagian Labis, Ahmad Humaizi Uzir berkata, tindakan yang dilakukan oleh kedua-dua bekas ADUN itu juga adalah sekali gus memalukan diri serta penyokong mereka.
“Tindakan itu tidak sesekali meninggalkan sebarang kesan terhadap Bersatu, sama ada di peringkat negeri mahupun bahagian serta keseluruhan penyokong dan pendukung Parti Perikatan Nasional (PN).”
Menurutnya, individu berkenaan mungkin sudah tahu dirinya tidak dicalonkan atas kegagalan menunjukkan prestasi yang bagus sebagai ADUN dan Exco Kerajaan Johor.
“Sebagai ahli parti, saya menzahirkan rasa simpati terhadap nasib penyokong dan pendukung kedua-dua bekas ADUN dan exco kerajaan Johor ini.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mencabar mereka bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya yakin pengundi akan mengundi mereka semula,” katanya.
Terdahulu pada khamis, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mengumumkan keluar daripada parti Bersatu bersama 23 ahli bahagian lain berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan Mazlan itu disusuli bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad yang mengumumkan bahawa beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Bersatu berkuat kuasa serta-merta dalam sidang akhbar semalam.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor itu berkata, keputusan itu dibuat setelah menyifatkan Bersatu hilang hala tuju dan gagal meneruskan perjuangan agenda penubuhan parti tersebut.