KOTA KINABALU: Sabah berharap sempadan antarabangsa dapat dibuka semula untuk memberi peluang kepada industri pelancongan kembali bernafas selepas lebih dari dua tahun lumpuh akibat pandemik Covid-19.
Bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Masidi Manjun berkata, industri itu penting kerana antara pencipta sektor pekerjaan terbesar di negeri ini.
Dalam pada itu, industri pelancongan adalah sektor yang paling teruk terjejas dan ramai usahawan terpaksa gulung tikar, berikutan dengan pandemik Covid-19.
Jelas beliau, ramai rakan dari luar negara bertanya kepadanya bila pintu sempadan Sabah akan dibuka semula. Ia menunjukkan Sabah mempunyai potensi yang sangat besar sebagai destinasi pelancongan.
“Jika sempadan dibuka semula, industri pelancongan sudah tentu akan meningkat dan kami amat berharap ianya akan dibuka tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, kelmarin.
Pada 2019, Sabah menganggarkan perolehan pelancongan sebanyak RM 9.01 bilion dengan 4 195 903 ketibaan pelancong. Salah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaan itu ialah penerbangan antarabangsa terus dan sewa khas ke Sabah.
“Saya percaya dengan kemajuan sains perubatan, saya pasti mereka akan menghasilkan penawar yang akan membendung atau menjadikan Covid-19 sebagai virus seperti selesema,” tambahnya lagi.
“Buat masa ini, kami perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata Masidi, yang juga jurucakap Covid-19 Sabah.