KOTA KINABALU : Seorang wakil rakyat pembangkang dari Parti Warisan Sabah hari ini bertindak keluar dari parti.
Rina Jainal yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 70 Kukusan, bertindak sedemikian dan menyatakan hasratnya untuk menyokong pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Rina yang juga Naib Wirawati Warisan menyatakan tindakan keluar parti tersebut adalah berdasarkan kerelaannya sendiri dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak.
“Saya mengambil tindakan keluar parti dan berhasrat untuk menyokong kepimpinan GRS/BN yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor,” tambahnya.
“Bagaimanapun, saya tetap berterima kasih dengan semua pimpinan, akar umbi Warisan yang menjadikan saya seorang ahli politik dan wakil rakyat, namun perjuangan demi rakyat saya tetap teruskan biar berlainan platform,” tambahnya lagi.
Rina juga berkata tindakannya tidak dipengaruhi mana-mana pihak dan tiada perselisihan antara beliau dan pimpinan Warisan sebelum ini.
Menurutnya, tindakannya itu adalah atas faktor rakyat di kawasan yang beliau wakili, dengan hanya GRS sahaja dapat membangunkan ekonomi setempat setakat ini. -AA