Parit Buntar: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki membunuh dan memotong badan ibunya di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka mendiang bapanya.
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas penemuan potongan-potongan daging menyerupai anggota badan manusia di dalam tangki kumbahan rumah berkenaan kira-kira pada 3.30 petang semalam.
Beliau berkata mangsa merupakan seorang wanita berusia 68 tahun dan hanya tinggal berdua bersama suspek di rumah itu sejak 12 tahun lepas selepas suami mangsa meninggal dunia.
“Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian dengan dibantu Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah hadir ke tempat kejadian dan menemukan 15 keratan bahagian tubuh badan yang telah dipotong,”
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat rasa tidak puas hati suspek terhadap pembahagian harta pusaka mendiang bapanya.
Mengulas dakwaan suspek adalah seorang pesakit mental, beliau menegaskan, lelaki itu pernah menerima rawatan pesakit mental di Hospital Lam Wah Ee kira-kira 20 tahun lalu dan selepas itu tidak pernah menerima sebarang rawatan susulan.
Terdahulu, pada minggu sebelumnya, anak perempuan mangsa telah membuat laporan polis akan kehilangan ibunya yang berusia 68 tahun.
Difahamkan mangsa dikatakan telah gagal dihubungi pada 26 Mei sebelum ahli keluarga membuat laporan polis pada 28 Mei lalu.
“Sebilah parang, dua pisau serta barang-barang berkaitan yang dipercayai digunakan suspek bagi melakukan pembunuhan turut dirampas di lokasi kejadian,” katanya dengan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.