LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan berjaya merampas minuman keras bernilai RM7,362 yang dipercayai diseludup dalam satu operasi di sini.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata semasa menjalankan operasi di sekitar kawasan kejadian, pasukannya terserempak sebuah bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 3.30 pagi.
“Bot yang bergerak bergerak dari arah Pulau Labuan menuju ke perairan laut Sipitang diarahkan berhenti bagaimanapun arahan berkenaan tidak diendahkan.
“Suspek kemudiannya memecut laju melarikan diri meninggalkan lokasi kejadian dan suspek dipercayai membuang sejumlah minuman keras yang ditemukan terapung di permukaan air.
“Suspek gagal ditahan berikutan berjaya memecut dan meloloskan diri dalam keadaan gelap dan tidak dapat dikesan di lokasi,” katanya.
Menurutnya hasil pemeriksaan lanjut mendapati minuman keras yang tidak bercukai itu dipercayai ingin diseludup ke Tanah Besar Sabah.
“Nilai rampasan minuman keras termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM7,362.36 dan kes disiasat mengikut kesalahan Akta Kastam 1967.
“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Kawalan PPM W4 Sabah di talian 013-9391197,” katanya.- Utusan Borneo