TAWAU: Tiga daripada lima pendatang tanpa izin (PTI) yang berjaya ditahan semasa cuba masuk ke perairan negara secara haram semalam didapati positif COVID-19.
Kesemua PTI terbabit ditahan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tawau di kedudukan dua batu nautika barat daya Tanjung Batu, di sini kira-kira jam 11.45 malam.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata tangkapan itu sekali gus berjaya menumpaskan sindiket kegiatan membawa masuk PTI ke negara ini.
“Tangkapan itu berikutan hasil maklumat risikan mengenai terdapatnya bot penumpang tempatan yang menjalankan aktiviti membawa masuk PTI secara haram melalui perairan Tawau,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, pasukan Maritim yang menjalankan Op Cegah PTI Selatan COVID-19 mengesan sebuah bot penumpang tempatan yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Bot berkenaan dipercayai membawa penumpang dari arah sempadan perairan Indonesia – Malaysia menuju ke perairan Tawau.
“Juragan bot berkenaan yang melihat kehadiran pasukan Maritim bertindak agresif dengan memecut laju sebelum hilang kawalan dan terbalik,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Beliau berkata, juragan bersama lima penumpang bot berkenaan berjaya diselamatkan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati juragan bot terbabit merupakan warga tempatan berumur 17 tahun manakala lima penumpangnya terdiri dua lelaki dan tiga wanita berumur 15 hingga 58 tahun adalah warga asing.
“Kesemua penumpang terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan memberi alasan insiden bot terbalik menyebabkan kesemua dokumen jatuh ke laut,” katanya.
Menurutnya, hasil ujian saringan pengesanan awal (RTK) mendapati tiga daripada mereka positif COVID-19 dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Pihak KKM juga akan membuat siasatan dan akan memanggil semua kontak rapat dalam kes ini untuk ujian saringan COVID-19.
“Juragan dan kesemua PTI terbabit akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu cubaan memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya.
Siva berkata, Maritim Malaysia akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab membawa masuk warga asing ke negara ini.
“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan bagi memastikan undang-undang negara dipatuhi sepenuhnya.
“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya.