HomeSemasaPemberian khas Sabah, status pelabuhan bintulu antara pencapaian terkini MA63

Pemberian khas Sabah, status pelabuhan bintulu antara pencapaian terkini MA63

PUTRAJAYA: Peningkatan Pemberian Khas Sabah kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2026 serta penyerahan status Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak menjadi antara perkembangan penting yang direkodkan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), kedua-dua perkembangan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 2 Tahun 2026.

Selain itu, mesyuarat berkenaan turut meneliti kemajuan pelaksanaan pelbagai perkara di bawah MA63 sebagai persediaan menjelang Mesyuarat MTPMA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri pada September depan.

Menurut kenyataan itu, peningkatan Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM1.5 bilion bagi tahun ini merupakan antara langkah memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Di samping itu, penyerahan status Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak pada 21 Julai lalu turut disifatkan sebagai satu lagi pencapaian penting hasil rundingan melalui platform MA63.

Jelas kenyataan itu, kedua-dua perkembangan berkenaan membuktikan pelaksanaan MA63 di bawah Kerajaan MADANI bukan sekadar memenuhi komitmen terdahulu, malah terus berkembang secara dinamik mengikut keperluan semasa serta aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak.

Justeru, kerajaan akan terus memperkukuh mekanisme rundingan dan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan lebih banyak isu berkaitan MA63 dapat diselesaikan secara berperingkat melalui platform MTPMA63.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular