TASEK GELUGOR: Seorang pelajar tahfiz maut apabila kenderaan yang dinaiki terbabas dan merempuh pokok manakala empat daripadanya termasuk seorang guru mengalami kecederaan di Jalan Guar Petai, pagi tadi.
Kejadian dilaporkan kira-kira pada jam 8 pagi yang melibatkan jenis kenderaan MPV Toyota Avanza yang dinaiki oleh seorang guru dan pelajar Maahad Tahfiz Sungai Dua.
Pelajar perempuan 17 tahun yang juga penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat termasuk guru tercedera.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner, Mohd Radzi Ahmad berkata, siasatan mendapati sebelum nahas berlaku, kejadian difahamkan bahawa mereka sedang menuju pulang ke Sungai Dua.
“Pemandu dipercayai telah hilang kawalan sebaik sahaja melalui selekoh di jalan berkenaan dan terbabas ke bahagian kanan jalan lalu merempuh sebatang pokok di hadapannya.
Menurut Radzi, seorang mangsa dilaporkan tersepit di bahagian belakang dan pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa tersebut.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk menerima rawatan lanjut manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.” Tambahnya lagi.
“Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 9.34 pagi,” katanya.