KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan sama ada pintu rundingan antara UMNO dan Pas ditutup atau tidak, hanya boleh ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (MT).
“Kita serah kepada MT, kita dengar pandangan daripada semua pihak, UMNO ini memang macam itu, kita terbuka… sesiapa sahaja boleh beri pandangan, akhirnya dari segi keputusan parti, ia akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi,” katanya.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, perkara itu mungkin akan dibawa ke mesyuarat MT yang akan datang.
“Jadi kita tangguh mesyuarat hari Sabtu, malam minggu ini dan akan ditangguhkan kepada tarikh yang akan diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan).
Jadi mungkin perkara itu boleh dibawa di dalam mesyuarat MT yang akan datang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022, di sini, hari ini.
Petikan Astro Awani, Naib Presiden UMNO berkata, ketika diminta mengulas laporan media berkenaan MT UMNO disaran menutup pintu rundingan dengan Pas berkaitan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang didakwa kritikal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Astro Awani