spot_img
HomeSukanKim Swee kecewa pasukannya gagal raih mata

Kim Swee kecewa pasukannya gagal raih mata

KOTA KINABALU : Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee menzahirkan rasa kecewa kerana kegagalan anak buahnya meraih mata semasa menentang Negeri Sembilan FC (NSFC).

Perlawanan tersebut merupakan aksi sulung pasukan itu pada Liga Super 2022 yang diadakan di Stadium Likas semalam.

Kim Swee berkata meskipun banyak mengawal situasi sepanjang perlawanan namun pemain dilihat gagal untuk memanfaatkan peluang yang ada termasuk gagal menyudahkan sepakan penalti pada minit terakhir separuh masa pertama.

“Kita tidak memanfaatkan peluang yang ada, dimana kita mengawal banyak situasi dan peluang-peluang yang ada kita tidak sempurnakan termasuk sepakan penalti,” tambahnya.

“Ini memberi tamparan buat kita apabila pasukan Negeri Sembilan mendapat gol melalui ‘set pieces’ dan sudah tentu ini satu keputusan yang cukup mengecewakan,” tambahnya lagi.

Menurut Kim Swee, NSFC berjaya mencuri peluang mendapatkan gol pada awal separuh masa kedua menyebabkan Sabah FC ketinggalan 0-1 hingga tamat perlawanan seterusnya gagal mengutip tiga mata di laman sendiri.

“Pasukan pelawat berjaya menjaringkan gol tunggal pada minit ke-51 menerusi sepakan Khair Muhammad Jefri Jones yang menerima hantaran daripada sepakan percuma Ahmad Khuzaimi Piee,” tambahnya.

Kim Swee berkata meskipun kecewa dengan keputusan itu namun Sabah FC perlu bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan kedua menentang PJ City FC pada 9 Mac ini di Stadium Likas.

“Kita harus bersiap sedia kembali dalam masa tiga atau empat hari sebelum kita bermain dengan PJ City FC,” tambahnya.

Sementara itu, Kim Swee berkata mengenai prestasi penyerang import dari Brazil, Neto Pessoa bahawa pemain itu perlu diberi peluang untuk membuktikan kebolehannya menjadi penjaring untuk pasukan Sabah FC.

“Ini baru perlawanan pertama dan sebelum ini dalam kejohanan dan perlawanan persahabatan beliau mampu untuk menjaringkan gol,” tambahnya.

“Pasti ramai yang kecewa dengan sepakan penalti beliau tetapi bagi saya kita perlu memberi beliau lebih kurang satu atau dua, tiga perlawanan lagi untuk membuktikan kebolehannya,” tambahnya lagi.

Kim Swee percaya beliau mampu menjadi penjaring untuk pasukan Sabah FC.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular