SOOK: Seramai lebih 480 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sook diraikan dalam Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar Tahun 2025 atas pencapaian cemerlang mereka dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah diri.
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Pensiangan dan ADUN Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Penganjuran acara tahunan ini bukan sahaja mengiktiraf kesungguhan serta dedikasi para pelajar, malah merayakan sokongan padu warga pendidik dan ibu bapa dalam melahirkan modal insan yang berdaya saing dari kawasan luar bandar.
Sepanjang majlis berlangsung, pelbagai anugerah telah disampaikan merangkumi pencapaian cemerlang pentaksiran sekolah, peperiksaan awam, kepimpinan murid, serta penglibatan aktif dalam aktiviti sukan dan kegiatan kokurikulum.
Menurut Arthur, kejayaan yang dicapai oleh anak-anak tempatan ini lahir daripada kerjasama erat antara pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam membentuk kecemerlangan serta keperibadian murid secara menyeluruh.
Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa bersiap sedia mendepani cabaran era teknologi dan kecerdasan buatan (AI). Mengulas laporan rasmi Bank Dunia, beliau menekankan bahawa kecerdasan emosi (Emotional Quotient – EQ) — seperti sahsiah diri yang tinggi, sifat hormat-menghormati, dan kemahiran bergaul — merupakan elemen ‘sentuhan manusia’ utama yang tidak boleh digantikan oleh mana-mana teknologi mahupun jentera canggih.

Di samping itu, beliau menyuarakan harapan agar nilai-nilai kelestarian alam sekitar dapat dipupuk secara berterusan dalam jiwa generasi muda bermula dari bangku sekolah lagi.
Tegas beliau, pihak kerajaan kekal komited memartabatkan prasarana pendidikan dan kemudahan infrastruktur setempat, merangkumi pembinaan sekolah-sekolah baharu serta ketersambungan rangkaian jalan raya di kawasan Parlimen Pensiangan dan DUN Sook demi membendung isu keciciran.
Langkah berimpak tinggi membuka akses kepada peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi baharu buat komuniti setempat.


