Kim Swee kecewa, Embalo masih cari rentak

256

KOTA KINABALU : Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berasa kecewa dengan persembahan pemain importnya, Jose Embalo pada aksi suku akhir Piala FA menentang Selangor FC, di Stadium Likas pada malam Sabtu lalu.

Beliau kecewa apabila Embalo masih lagi tercari-cari rentak ataupun corak permainan yang diinginkan semasa beliau diturunkan sebagai pemain gantian.

Kim Swee berkata, Embalo harus cuba mengadaptasi dengan corak permainan kita walaupun beliau bermain di liga yang lebih baik sebelum ini tetapi corak permainan berbeza.

“Embalo perlu cuba mengikut apa yang kita biasa lakukan dan kita akan lihat selepas ini apa langkah seterusnya sama ada beliau diturunkan ataupun tidak,” tambahnya.

Kim Swee turut berasa kecewa selepas tewas pada aksi suku akhir Piala FA sekali gus terkeluar daripada saingan berkenaan.

“Kecederaan pemain pertahanan Dominic Tan yang terpaksa dikeluarkan mengubah corak permainan,” tambahnya.

Dalam aksi suku akhir itu skuad Sang Badak tumpas kepada Selangor FC 0-2.

The Red Giant membuka tirai jaringan apabila Hyuri Henrique De Oliveira Costa berjaya meledak gol pada minit pertama permainan.

Pasukan Sang Badak cuba bangkit menyamakan kedudukan namun serangan mereka gagal diterjemahkan kepada jaringan. – HM