SHAH ALAM: Ahli MPP PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad Bersama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyarankan kerajaan ambil Tindakan tegas dalam memerangi kartel-kartel yang berkuasa dalam menentukan harga barang asas dalam negara.
“Adalah malang Suruhanjaya Persaingan (MyCC) tidak diberikan sumber dan kuasa secukupnya untuk memecahkan monopoli dan kartel di dalam negara”
“Meskipun fenomena kenaikan kos sara hidup berlaku di seluruh dunia di atas pelbagai faktor, namun tindakan setiap negara memainkan peranan untuk meringankan kesan tersebut terutamanya untuk golongan miskin dan sederhana,” katanya.
Nik Nazmi berkata, MPP menganggap tindakan membakar sentimen menjadikan pekerja asing sebagai kambing hitam atau menubuhkan Pasukan Khas Tangani Jihad adalah tindakan tidak bertanggungjawab oleh kerajaan yang terdesak untuk memenangi hati rakyat.
Beliau yang juga, Ketua Setiausaha Pengelola PKR turut menyarankan agar kerajaan memperluaskan program-program bantuan rakyat dan insentif cukai secara bersasar, bukan untuk golongan B40 semata-mata tetapi untuk golongan sederhana yang terkesan dengan krisis kos sara hidup serta tidak layak mendapat banyak bantuan.
“MPP merasakan masanya sudah tiba untuk kerajaan melihat mekanisme gaji wajar yang pernah dicadangkan oleh Bank Negara pada 2017 sebagai satu mekanisme nilai tambah kepada gaji minimum untuk menggalakkan kenaikan gaji secara lebih saksama dan realistik mengikut kos sara hidup setempat,” katanya. -Sinar Harian