HomeEkonomiPKS bangun 1,066 program dengan peruntukan RM47.2 juta

PKS bangun 1,066 program dengan peruntukan RM47.2 juta

KOTA KINABALU: Pusat Kraftangan Sabah (PKS) telah melaksanakan 1,066 program dengan  peruntukan berjumlah RM47.2 juta yang memanfaatkan seramai 22,038 orang bagi tempoh 2011  hingga 2026.

“Angka ini menunjukkan bahawa pembangunan industri kraf bukan sekadar memelihara khazanah,  tetapi turut membuka ruang ekonomi kepada rakyat,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata tahun ini, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan melalui 29 program yang melibatkan  200 orang kumpulan sasar.

Sabah mempunyai khazanah budaya yang kaya, termasuk tenunan, batik, anyaman buluh dan rotan,  manik serta pelbagai hasil kraf tangan, yang perlu diteruskan generasi muda selari perkembangan  zaman, katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Apresiasi dan Penutupan Program Khas Anak Negeri  (PKAN) Sabah sesi 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Haji  Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata pembangunan  modal insan perlu bergerak seiring dengan perubahan teknologi, pekerjaan dan keperluan industri.

“Anak-anak Sabah perlu diberikan ilmu serta kemahiran untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan  mengambil peluang. Sebab itu, pendidikan, latihan, bimbingan, keusahawanan dan akses kepada  pasaran perlu saling melengkapi supaya kemahiran yang dipelajari dapat diterjemahkan kepada  produk, perniagaan, pendapatan dan pembangunan ekonomi masyarakat.

“Program Khas Anak Negeri atau PKAN yang kita raikan pada hari ini merupakan satu contoh usaha  yang memberi ruang kepada rakyat untuk membina keupayaan melalui kemahiran dan pengalaman.

Menurut Ketua Menteri, penyertaan batik dan cetakan digital PKS dalam peragaan fesyen KPDN  Presents: Fashion Forward Batik Malaysia sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2026  menunjukkan bahawa kreativiti dan hasil kerja Sabah mempunyai potensi untuk diketengahkan di  peringkat lebih luas.

Katanya, usaha berterusan Yayasan Sabah dalam memastikan industri kraf tangan terjamin dan  terus berkembang turut diperkuatkan melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU)  antara Yayasan Sabah melalui PKS dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Ini diikuti dengan penyerahan Letter of Intention (LOI) kepada Yayasan Sabah daripada Politeknik  Kota Kinabalu, All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals  (APPGM-SDG) dan Sugee Group Sdn. Bhd.

Pada masa yang sama, Hajiji turut mengalu-alukan penglibatan institusi pendidikan seperti Kolej  Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) dalam PKAN.

“Penglibatan mereka memperlihatkan bahawa pembangunan modal insan tidak terhad kepada  kemahiran tradisional, tetapi turut merangkumi bidang yang berkaitan dengan kebolehpasaran,  teknologi, keusahawanan dan keperluan industri semasa.

“KTYS turut menunjukkan perkembangan positif dalam usaha pembangunan modal insan. Bagi  tempoh 2016 hingga 2026, KTYS telah melaksanakan 93 program dengan jumlah peruntukan  RM15.01 juta dan melibatkan seramai 1,936 orang peserta,” katanya.

Melalui PKAN, KTYS telah melaksanakan Program Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM) yang  memberi tumpuan kepada peningkatan pencapaian pelajar dalam subjek kritikal Matematik dan  Sains.

Hajiji berkata program yang melibatkan tiga buah sekolah dengan kuota 200 pelajar ini telah  menunjukkan peningkatan kadar kelulusan daripada 35 peratus kepada 98 peratus bagi SPM 2025.

Susulan kejayaan tersebut, penyertaan diperluas kepada 300 pelajar melibatkan enam buah sekolah  pada tahun ini, katanya.

Selain itu, Program Gerak Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU) turut dilaksanakan bagi  memperkasa ekonomi golongan rentan melalui kemahiran pemprosesan makanan hasil laut, dengan  43 daripada 89 peserta berjaya meningkatkan pendapatan mereka, katanya.

Sementara itu, UCSF melalui PKAN Sabah 2026 telah melaksanakan program Eksplorasi dan  Pemerkasaan Teknologi, Kesenian dan Keusahawanan (ExPERTISE) dengan peruntukan  RM750,000.00 untuk 11 program melibatkan 314 golongan sasar terdiri daripada kalangan belia dan  komuniti Anak Negeri Sabah.

Hajiji berkata Sijil Pembantu Perawatan Pesakit (PCA) antara program yang dilaksanakan tahun ini  dengan kerjasama Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJNUC) dengan seramai 13 pelajar telah  mendapat penempatan latihan kerja selama tiga bulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan klinik  swasta di Sabah.

Selain itu, katanya, program BRIDGE (Building Resources, Inclusivity, Development and Growth in  Communities) telah berjaya dilaksanakan dengan penganjuran sembilan program berteraskan  bidang seni dan kraf, pelancongan dan hospitaliti, Artificial Intelligence (AI), Sains dan Teknologi,  dan pertanian.

Beliau berkata program jangkauan ini melibatkan 292 peserta dari daerah-daerah seperti Sipitang,  Semporna, Pulau Banggi, Keningau, Ranau, Kota Belud, Kota Marudu, dan Kota Kinabatangan.

Dalam hal ini, katanya, UCSF telah melaksanakan 85 program dan membelanjakan peruntukan  berjumlah RM11.7 juta yang memanfaatkan 1,842 orang peserta sejak 2015 hingga 2025

Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan usaha untuk  memastikan pembangunan Sabah sentiasa berpaksikan kepada rakyat, dengan peluang terus  dibuka.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular