KOTA KINABALU: Pakatan Harapan Sabah menolak cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk membubarkan Parlimen ketika kemungkinan rombakan Kabinet sedang diperkatakan.
Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata kekosongan dalam Kabinet boleh ditangani oleh Perdana Menteri mengikut proses yang sewajarnya.
“Keutamaan Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah memperkukuh ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, lebih menghairankan, gesaan ini bercanggah dengan pendirian beliau sendiri selaku Presiden UMNO bahawa UMNO akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.
“Perjanjian yang dimeterai selepas PRU15 turut menetapkan kerjasama bagi tempoh lima tahun Parlimen Ke-15. Kerajaan Madani masih boleh meneruskan pentadbirannya sehingga Disember 2027”
“Baki penggal ini wajar dimanfaatkan untuk menunaikan amanah rakyat,” jelasnya.
Mustapha beritahu, pembubaran Parlimen lebih awal boleh mengganggu reformasi institusi dan penambahbaikan tadbir urus yang sedang berjalan.
“Kerajaan perlu terus melaksanakan reformasi, menangani kos sara hidup dan menambah baik perkhidmatan kepada rakyat”
“S&P Global Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A− dengan tinjauan stabil. Penarafan ini mencerminkan daya tahan ekonomi negara dan menyokong usaha menarik pelaburan,” katanya.
Mustapha yang Ahli Parlimen Sepanggar menjelaskan, jangan kerana ghairah mengejar kepentingan politik jangka pendek, kita pertaruhkan keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.
“PH Sabah menyeru semua pihak supaya menghormati mandat sedia ada dan memberi ruang kepada YAB Perdana Menteri untuk meneruskan agenda ekonomi, reformasi dan kebajikan rakyat,” katanya.


