Ranau: Kerajaan akan terus membantu meningkatkan kemudahan infrastruktur terutama untuk rakyat di kawasan pedalaman bagi merancakkan aktiviti ekonomi penduduk kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata kerajaan peka dengan keperluan rakyat agar semua kemudahan asas dapat dinikmati segera dan tindakan itu diusaha dan dilaksanakan pihak kerajaan kini.
“Pelaksanaan projek terbabit bagaimanapun dilakukan secara berperingkat mengikut keutamaan dan peruntukan kewangan yang ada”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di empat lokasi berasingan termasuk Kampung Tinongian, Betong, Sinurai dan Tumbalang di sini.
Turut hadir ialah Pengerusi Penganjur Tangkelip Samingga.
Pada majlis itu, Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau sempat merasmikan Jambatan Gantung di Kampung Betung yang baharu siap diperbaiki dengan mencecah kos sebanyak RM30,000.
Dalam pada itu Jonathan juga menyeru penduduk supaya sentiasa memupuk perpaduan dan persaudaraan yang sedia terjalin tanpa membezakan agama, kaum dan idologi politik bagi memudahkan kerajaan menyalurkan lebih banyak kemudahan untuk dinikmat rakyat akar umbi. -Utusan Borneo