SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan sebuah kapal kontena yang mengalami kerosakan apabila jentera utama gagal berfungsi menyebabkannya hanyut di perairan Pulau Pom Pom, kelmarin.
Pengarah APMM Zon Maritim Semporna, Norrimi Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kapal kontena berdaftar dengan nama Danum 171 milik syarikat Shin Yang Shipping Sdn Bhd sekitar jam 9.45 pagi, sebelum mengerahkan pasukannya ke lokasi kejadian.
“Kami menggunakan Bot Peronda Cenderawasih 09 dan Bot Adal 18 ke lokasi kejadian untuk mengawasi dan keselamatan persekitaran bagi mengelakkan sebarang insiden berlaku,” katanya.

Seramai 17 kru kapal berjaya diselamatkan oleh APMM dan kapal berkenaan meneruskan pelayaran sebaik sahaja kerosakan dapat dibaiki.
Susulan itu, pihaknya telah membuat pemantauan terhadap kapal berkenaan sehingga kapal itu selamat berlabuh di pelabuhan kontena Lahad Datu.
Jelasnya, pihak APMM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada Komuniti Maritim dan masyarakat untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut.
Maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619.


