spot_img
HomeSemasaGeorge seru rakyat Sabah manfaatkan insurans kemalangan percuma

George seru rakyat Sabah manfaatkan insurans kemalangan percuma

SANDAKAN: Penduduk Sabah digesa mengambil tahu mengenai pelan Insurans Kemalangan Diri yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri agar tidak terlepas manfaat perlindungan jika berlaku kemalangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata pelan ini telah berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu dan masih ramai yang belum mengetahui kewujudannya.

“Inisiatif ini sangat penting terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah. Mereka tidak perlu bayar apa-apa tetapi tetap dilindungi. Malangnya ramai masih tidak tahu,” katanya selepas mengadakan lawatan ke pejabat Progressive Insurance Bhd cawangan Sandakan, syarikat yang dilantik menguruskan skim berkenaan.

Beliau turut mendapatkan penjelasan mengenai proses permohonan dan tuntutan bagi membantu memudahkan urusan waris yang layak membuat tuntutan.

Menurutnya, pelan itu melibatkan semua penduduk tempatan Sabah berumur antara satu bulan hingga 80 tahun dengan pampasan maksimum RM10,000 bagi kes kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan.

Katanya, ia turut menyediakan bayaran ihsan pengebumian sebanyak RM500.

Jelas beliau, skim tersebut berjalan selama tiga tahun sehingga 30 April 2028 di mana bayaran pampasan dijangka dapat disalurkan seawal 14 hari dan tidak melebihi 30 hari selepas dokumen lengkap dikemukakan.

George berkata, pasukan khidmatnya menerima beberapa kes baru-baru ini yang menunjukkan waris mangsa tidak mengetahui mereka layak membuat tuntutan.

“Sesiapa yang layak boleh hadir ke pejabat Progressive Insurance Bhd dengan dokumen seperti laporan polis atau surat pengesahan kematian untuk permohonan,” katanya. DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular