KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis tanpa nombor di Jalan Bunga Raya, Kepayan, di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Sabah, Peter J. Berinus Agang berkata, operasi yang dijalankan pada jam 10.30 pagi oleh lima pegawai penguat kuasa di bawah Ops Tiris itu berjaya merampas anggaran 16,180 liter diesel, sebuah Toyota Land Cruiser dan beberapa peralatan dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM34,650.

“Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang dipercayai bertanggungjawab turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Risikan selama dua minggu mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen sah atau kebenaran menyimpan barang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Katanya, jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan berikutnya, denda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun.
Jelasnya, bagi syarikat, denda maksimum RM2 juta boleh dikenakan, dan bagi kesalahan seterusnya sehingga RM5 juta.
Peter turut mengingatkan pengusaha stesen minyak supaya tidak menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli tanpa kebenaran bertulis KPDN.
“KPDN Sabah akan terus mempergiat pemeriksaan dan pemantauan bagi membanteras ketirisan barang kawalan bersubsidi.
“Orang awam digesa menyalurkan maklumat bagi membantu kerajaan memerangi aktiviti haram ini sehingga ke akar umbi,” katanya. — DEMI SABAH


