spot_img
HomeJenayahDua warga asing ditahan, cubaan seludup barang kawal bersubsidi

Dua warga asing ditahan, cubaan seludup barang kawal bersubsidi

SEMPORNA: Cubaan seludup barang-barang kawalan bersubsidi berjaya dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di selatan perairan Pulau Mataking lalu menahan dua lelaki warga asing, dipercayai cuba membawa keluar barangan tersebut ke negara jiran.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Mohd. Yacob Bin Murad berkata pegawai dan anggota dari Kompeni ‘B’ Semporna, diketuai Mohd. Hussin Bin Mohd. Shayrullah, terlihat sebuah bot dalam keadaan mencurigakan semasa membuat rondaan sekitar jam 6.05 petang, dipercayai dari Pulau Boheyan menuju ke arah Pulau Malamanuk.

“Juragan terus memecut botnya dengan laju setelah melihat pihak polis, namun bot mereka berjaya dipintas oleh bot PGA,” katanya.

Pemeriksaan awal mendapati dua lelaki warga asing, berumur 24 dan 28 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Sementara itu, pihaknya menjumpai minyak masak pelbagai jenama sebanyak 323 paket, 30 bungkus bihun berjenama Cahaya Bulan dan empat bungkus mee kuning serta dua gelen berisi 25 liter, disyaki minyak petrol bersubsidi.

“Kami juga turut merampas dua buah enjin pump bot 13hp berjenama Jaguar dan Vanguard,” tambahnya.

Jumlah nilai keseluruhan barang-barang rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 6,037.50.

Susulan itu, kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi siasatan lanjut. Kes akan disiasat dibawa Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular