spot_img
HomeJenayahDua bot pukat tunda ditahan, tangkap ikan secara haram

Dua bot pukat tunda ditahan, tangkap ikan secara haram

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot pukat tunda disyaki menangkap ikan secara haram dalam lingkungan tiga batu nautika di perairan Tuaran dan Kota Belud, semalam.

Pengarah APMM Sabah dan WP Labuan, Mohd Rosli Abdullah berkata, radar Sistem Pengawasan Marin Sabah (SWASLA) mengesan dua aktiviti mencurigakan di Tanjung Tembungo, Tuaran dan Teluk Ambong, Kota Belud.

Jelas beliau, maklumat itu disampaikan kepada pasukan yang menjalankan operasi rutin di perairan Kota Kinabalu untuk mengesan dan mengesahkan lokasi.

“Setibanya pasukan peronda di perairan Tanjung Tembungo sekitar jam 3.30 pagi, mereka mendapati sebuah pukat tunda sedang menangkap ikan dalam lingkungan tiga batu nautika,” katanya.

Berdasarkan siasatan, bot dan anak kapal itu disyaki melakukan pelanggaran Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60.

Kira-kira jam 4.50 pagi, pasukan peronda memintas sebuah lagi bot pukat tunda di perairan Teluk Ambong.

“Bot pukat tunda tersebut dipercayai menangkap ikan sepanjang pantai itu dengan melakukan pelanggaran Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana empat anak kapal itu tidak memiliki permit kerja yang sah,” tambahnya.

Susulan itu, kedua-dua bot pukat tunda berkenaan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Sabah di Sepanggar untuk siasatan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular