spot_img
HomeJenayahDua anggota polis palsu ditahan | Demi Sabah

Dua anggota polis palsu ditahan | Demi Sabah

SEMPORNA: Pasukan Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna telah menahan dua lelaki tempatan yang menyamar sebagai anggota polis yang disyaki melakukan jenayah samun berkumpulan di sebuah rumah pekerja di Kampung Menteritip, Pegagau, semalam.

Kedua-dua suspek yang berumur 48 tahun itu telah ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan di Batu 2 Jalan Semporna-Tawau sekitar jam 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihak mereka menerima laporan mengenai kejadian samun tersebut dan telah mengerahkan sepasukan polis untuk menjalankan siasatan dan tangkapan terhadap kedua-dua suspek berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek sedang berada di rumah masing-masing, sebelum mereka berjaya diberkas.

“Hasil siasatan juga telah menemukan kereta yang digunakan oleh suspek ketika merompak, motosikal, gari, tiga telefon bimbit dan senjata parang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, hasil ujian saringan kencing ke atas kedua-dua suspek turut mendapati suspek positif dadah jenis Ampehetamine dan Methamphetamine dan kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos depan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, kejadian berlaku kira-kira jam 5.11 petang, pada Ahad, ketika mangsa berada di rumahnya telah didatangi oleh kedua-dua suspek yang menyamar sebagai anggota polis.

Menurut mangsa, suspek sempat menunjukkan sepasang gari dan mengarahkan mangsa keluar dari rumahnya, sebelum menggeledah rumah mangsa.

Kedua-dua suspek mengambil semua barang berharga termasuk wang tunai berjumlah RM2,500 dan lima buah telefon bimbit milik mangsa.

“Kedua-dua suspek kini ditahan dan telah dibawa ke IPD Semporna untuk tindakan lanjut manakala kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya. – Utusan Borneo

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular