spot_img
HomeJenayahWarga emas rugi RM352,050, diperdaya Macau Scam | Demi Sabah

Warga emas rugi RM352,050, diperdaya Macau Scam | Demi Sabah

PAPAR: Seorang wanita warga emas telah mengalami kerugian sebanyak RM352,050 setelah terjebak dalam sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ‘pegawai bank’.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata hasil siasatan mendapati mangsa yang merupakan seorang pesara kerajaan berumur 62 tahun itu sebelumnya menerima mesej pesanan ringkas (SMS) sekitar jam 9.07 pagi pada 17 Ogos lalu.

Menurut beliau, kandungan mesej terbabit menyatakan mangsa ada membuat pembelian dalam talian.

“Mangsa yang terpedaya dengan mesej terbabit kemudiannya bertindak menghubungi nombor telefon yang diberikan sebelum bercakap dengan suspek yang menyamar sebagai pegawai bank.

“Suspek kemudiannya meminta semua maklumat akaun bank mangsa dan mangsa turut memberikan semua maklumat akaun bank miliknya bersama nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

“Tiga hari kemudiannya, mangsa menyedari wang dalam akaun bank berjumlah RM352,050 telah dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga oleh Scammer tanpa pengetahuannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudiannya bertindak membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan sedang dijalankan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Sementara itu pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar elakkan daripada menjawab panggilan telefon dan melayan sebarang bentuk SMS dari pihak yang tidak dikenali yang menyamar dari mana-mana jabatan kerajaan atau organisasi. – Utusan Borneo

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular