KOTA KINABALU: Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Sabah adalah satu wadah bagi menghimpunkan pemimpin dalam kalangan mahasiswa dalam satu konvensyen bersifat intelek khususnya di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan berkata, matlamat program adalah untuk menghimpunkan pemimpin mahasiswa seluruh Sabah supaya mereka boleh membina ukhuwah dan jaringan maklumat.
“Dalam program ini bakal membincang dan membahaskan isu-isu semasa khususnya berkaitan masa depan negeri dan kualiti kepimpinan anak muda untuk membina Sabah yang lebih gemilang.
“Mahasiswa merupakan kelompok masyarakat yang berpendidikan. Inilah masanya mereka boleh bertukar fikiran dan pandangan,” ujar beliau yang juga penyelaras konvensyen.
Menurut Dr Aliakbar yang juga pengerusi penganjur, kehadiran mahasiswa membuktikan kesedaran yang tinggi bagi membincang dan mencari resolusi terbaik untuk anak muda Sabah.
Program mega yang julung kali dianjurkan oleh Persatuan Pengkaji Budaya Intelek Sabah (IKSAS) di Sabah dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pada 27 Ogos itu bakal berlangsung di Sabah International Convention Centre.
Sementara itu, menurut Pengarah Program, Mohd Asisal Abbas menyasarkan 500 peserta dari seluruh Sabah yang terdiri daripada mahasiswa dan anak muda demi melahirkan mahasiswa yang berminda negarawan, berfikir global dan bertindak lokal.
“Kami berharap, konvensyen ini mampu membawa kepada perbincangan yang membugar idea segar untuk kebaikan tanah negeri Sabah ini. Anak muda lah tiangnya,” kata Asisal menerusi temubual di talian whatsapp.
Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa merupakan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk berdialog bersama pimpinan Sabah.
Anak muda perlu segera berpartisipasi dan menghadiri KKM yang akan dianjurkan 27 Ogos kelak di SICC, Kota Kinabalu.