KOTA KINABALU: Ramai ketua bahagian UMNO di Sabah tidak dapat hadir ke mesyuarat tergempar Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh Malaysia yang diadakan di Menara Dato’ Onn Kuala Lumpur, pada isnin.
Masa yang terlalu singkat dan pertembungan program yang perlu dihadiri adalah alasan utama, kebanyakan Ketua Bahagian UMNO dari Sabah tidak dapat hadir.
Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan berkata, tidak sempat hadir kerana menghadiri program di kawasan parlimen.
Bila ditanya apakah intipati mesyuarat yang diketuai oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ramai yang menjawab tidak tahu.
“Saya tidak tahu apa intipati mesyuarat itu,” katanya ketika dihubungi demisabah.com.
Dikatakan notis diberitahu pada pukul 11 malam, ahad, oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Oleh demikian, Ketua UMNO Bahagian yang berada di Kuala Lumpur sahaja yang sempat hadir ke mesyuarat itu.
Jeffery Nor, Ketua UMNO Putatan dan Fadli Juanas Kota Belud serta Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin tidak dapat hadir kerana program dan mesyuarat berlangsung serentak.
“Saya tidak dapat hadir sebab hadir ke Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia,” kata Jeffery Nor.