spot_img
HomeSemasaDua anak syarikat Petronas dirampas waris kesultanan Sulu

Dua anak syarikat Petronas dirampas waris kesultanan Sulu

SHAH ALAM : Peguam yang mewakili waris kesultanan Sulu pada Isnin dilaporkan merampas dua anak syarikat milik Petronas di Azerbaijan yang dianggarkan bernilai RM8.87 bilion.

Menurut laporan Financial Times yang berpangkalan di London, bailif di Luxembourg merampas kedua-dua syarikat berkenaan iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus bagi pihak pelanggannya.

Tindakan itu difahamkan sebahagian daripada usaha perundangan waris Kesultanan Sulu yang sebelum ini membuat tuntutan bernilai RM62.59 bilion daripada Malaysia sebagai pampasan berikutan proses timbang tara.

Proses timbang tara adalah sebagai tindak balas ke atas Malaysia yang memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada tahun 2013.

Bagaimanapun, Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan yang dibuat pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu itu dan menolak sepenuhnya ‘Final Award’ dikeluarkan penimbang tara Dr Gondoza Stampa atas dakwaan pelanggaran terhadap Perjanjian 1878 antara Sultan Sulu ketika itu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent.

Perjanjian itu menyaksikan Sultan Sulu menyerahkan buat selama-lamanya wilayahnya di Borneo Utara. Sebagai balasan Sultan Sulu serta warisnya diberikan wang serahan RM5,300 setiap tahun. Namun kerajaan Malaysia menghentikan pembayaran tersebut pada tahun 2013 susulan serangan bersenjata yang berlaku di Lahad Datu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mac lalu berkata, kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award berhubung isu tuntutan pihak yang mengaku sebagai waris Sultan Sulu pada Mac lalu di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara.

Ismail berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan keputusan tersebut tidak boleh dikuatkuasakan selain memastikan Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan seperti yang dituntut. – SH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular